|

Thursday, November 19, 2009

...dan aku menjadi aku.

...

Dulu, rumah aku tiada talian telefon. Kami tak mampu.

Aku pun sudah bosan menunggu. Aku sudah tidak dapat mengharungi tekanan perasaan tentang masa depan aku.

Aku sudah tidak larat dan sudah tiada kudrat untuk mengharap.

Ketika semua teman-teman pergi meninggalkan aku. Seorang demi seorang meninggalkan kerusi yang kosong, aku hanya pasrah.

Betapa aku berdoa.
Keinginan yang mendominasi mata fikirku setiap masa.

Pulang dari rumah abangku.
Bersusah-payah arwah ayah menghantarku.
Hanya untuk menelefon Hal Ehwal Pelajar ITM.
Hanya untuk mendapat tahu bahawa permohonan aku.

Gagal.

Aku tidak mampu ke mana.
Hanya tetap di situ.
Meneruskan sisa perjuangan di Tingkatan Enam.

Aku menghempaskan badan di atas katil besi yang sudah berkarat di sana sini. Keriuk-keriuk tali temali springnya menjadi nada yang sebati.

Tanpa aku sedari.
Air mata mengalir di pipi.

Berjejeran.

Aku pun tidak tahu kenapa harus air mata itu keluar dan mengalir di saat-saat sebegitu. Bukan kehendak aku. Bukan itu yang aku mahu.

Tatkala itu, pintu bilikku terbuka.

Dan Che' menjenguk.
Melihat air mata.

Che' kata...
'Tak mengapa...bukan rezeki kita'

Aku pun tak tahu mengapa, tapi air mata aku menderas laju.

Aku simpan setiap saat kenangan itu
Aku simpan doa Che' yang satu itu

...dan aku menjadi aku.

Aku tak mahu air mata itu mengalir lagi sehinggalah ke hari ini.
...dan aku katakan pada anak aku;

'Fiq...bukan rezeki kita lagi'

Kini aku tahu apa yang Che' rasakan suatu waktu dahulu.

~Po.
|

Thursday, October 01, 2009

Halo - Satu Fenomena.

...

Merehatkan diri sambil melihat berita di tv malam tadi.

-Taufan Ketsana di Filipina. Beranjak ke Vietnam. Membawa khabar duka yang amat malang.

-Tsunami di Samoa. Puing-puing berserakan di jalanan. Khabarnya lebih seratus terkorban.

-Gempa di Padang, Indonesia.Gegarnya amat menakutkan.Terasa hingga ke tanah kita.

-Ibu dua anak mengaku tidak bersalah berkhalwat dalam bilik hotel jam 5.30 pagi bersama lelaki bukan muhrim dan bukan Islam.Di tuduh sambil dihadiri oleh suaminya sendiri.

Aku mengetuk-ngetuk 'remote' Tv dan cuba untuk memahami apa yang Tuhan mahu tunjukkan.

Nyata, gambar ibu dua anak yang melarikan diri sambil menutup muka mengelak dia di rakam lensa wartawan lebih mendalam kesannya.

Ketika orang lain di serata dunia berlari menyelamatkan nyawa, dia berlari menutup malunya.

Jam sepuluh suku malam. Tatkala aku sedang mengambil wudhu' untuk Isya' yang lewat. Telefon tangan bernyanyi. Aku biarkan.

Usai solat, memanggil semula kawan yang 'missed call'.

'ko dah tido?' tanyanya.

'belum..' jawap aku.

'Cuba ko keluar rumah sekejap' katanya lagi.

'buat apa? ko ada kat luar ke?' aku tanya.

'keluar ajelah!' katanya.

Aku keluar sambil mengikut arahan dia.Dongak ke langit juga mengikut suruhan dia.

Aku lihat ini...



...

SubhanaAllah.

Ada lingkaran mengelilingi bulan malam tadi. Langit terang dan tiada gumpalan awan. Bagaikan kabus meminggiri lunar dan tidak menginjak bulatan.

Maha suci Mu, Tuhan.

Anak-anak sibuk bertanyakan soalan.

'kenapa jadi begitu Bah?' tanya mereka.

Ini adalah kejadian Tuhan dan kali ini kita tak perlu berlari. Kita cuma berdiri di sini dan lihat apa yang Tuhan mahu kita saksikan.

KebesaranNya.

Aku istighfar dalam tidur.
Minta dijauhkan dari sebarang bala dan malapetaka dunia.

~Po.
|

Monday, September 28, 2009

Kapal Terbang Buluh



...

Aku berlari mengejarnya. Pantas dan panas. Hati aku hangat membara. Sehangat api yang menyambar dan membakar kerangka kapal terbang yang aku buat daripada buluh.Rangka yang aku telah simpan baik di atas almari.

Berhari-hari aku siapkan kerangka kapal terbang itu. Aku raut buluh menjadi halus. Aku ikat dengan tali agar kemas.

Tinggal lagi, aku hanya mahu lekatkan kertas pada rangka tersebut dan menjadilah sebuah kapal terbang kertas yang lain dari yang lain.

Akan aku bermain dengan kapal terbang kertas itu seolah-olah aku yang terbang bersama. Membelah awan dan melintang di dada langit.

Kawan-kawan aku akan cemburu dengan kapal terbang kertas aku. Ini bukan kapal terbang dari kertas yang dilipat. Ini bukan origami!. Ini kapal terbang dari buluh diraut halus seperti layang-layang. Seperti model skala kapal terbang sebenar.

Aku berlari mengejarnya sekeliling rumah.

Seketika tadi aku lihat dari pintu besar rumah kayu yang senget di tepi lembah. Kapal terbang aku sedang hangus. Rangka kapal terbang aku sedang marak dimamah api. Di atas pasir putih tepi pantai.

Luluh angan-angan aku.

Di satu penjuru laman rumah, dia rebah tersadung pasir dan aku terus menerkam lagak seorang hero yang sedang mempertahankan tamadun kemanusiaan. Dia terhenyak ke dasar tanah. Aku lupa berapa kali aku kilas tangannya.

Aku lupa berapa kali aku tonyoh kepalanya.

Aku lupa berapa kali aku tampar pipinya.

Seingat aku, dia meraung.

Rangka kapal terbang aku sudah menjadi abu.

Hari Khamis lepas, di pagi Hari Raya ke lima.

Aku duduk bersila, berteleku di belakangnya di dalam masjid.

Dan aku angguk kepala seraya berkata..’sah!..” tatkala dia habiskan lafaz keramat untuk menjadi suami orang.

Setelah usai semua dengan lafaz takliknya, dengan doa Imamnya. Dia bangkit dengan sepasang baju melayu serba putih. Dia menghulurkan tangan dan aku genggam tangannya lalu aku maafkan dia kerana membakar rangka kapal terbang kertasku…tiga puluh tahun nan lalu.

Aku ketika itu dalam darjah tiga, gamaknya dan dia baru berusia sekitar empat atau lima.

Ketika aku mahu pulang, aku melihat seorang budak kecil yang melihat abu rangka kapal terbangnya di atas pasir putih sambil mengesat-ngesat airmata dan bangun lalu membina sebuah kapal perang pula.

Semoga anak saudaraku itu berbahagia bersama teman hidupnya.

~Po.
|

Thursday, September 17, 2009

Minal aidil wal faizin


...

~Po & keluarga.
|

Sunday, September 13, 2009

Yang Keempat.

...

Selepas Isya'. Terasa sakit tapi tidak begitu kuat. Turun tanda. Darah.

Jam 11. Ke klinik.

Jam 12. Air ketuban dipecahkan.

Jam 4 pagi. 'Drip'. Induce.

Jam 6. Sakit kuat.

Jam 6.20. 'Push' tapi jalan belum cukup besar.
Doktor arahkan supaya mengiring dan bertahan.

Jam 6.35 sakit tak tertahan. Doktor ke tandas. Misi tak berani nak sambut.

Memang tak tertahan.

Jam 6.40. Doktor datang dan sekali 'push' terus teriak.

Bayi perempuan. 3.5kg. Sihat. Sempurna sifat.

Alhamdulillah.
Syukur padaMu Tuhan.

~po.
Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com